Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui ketika operasi mencarai dan menyelamat malam tadi. - Foto ihsan Bomba

LAHAD DATU – Dua lelaki lemas selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke laut di Jalan Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu, malam tadi.

Mayat mangsa dikenali Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba.

Menurut Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.50 malam.

“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dipercayai terbabas sendiri dan terjunam ke dalam laut. Menurut pemanggil terdapat dua mangsa terbabit dan belum ditemui.

“Selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pukul 12.06 tengah malam.

“Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa kedua.

“Selaman kedua dilakukan pasukan bomba dan mangsa kedua berjaya ditemui pada 1.31 pagi,” katanya dipetik laporan BH Online.

Riki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast