Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf hadir pada majlis perasmian Portal Semak Mule 2.0 di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 03 MARCH 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkenalkan Portal Semak versi 2.0 bagi membendung jenayah komersial penipuan dalam talian di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohames Yoosuf berkata, fungsi Portal Semakmule telah diperkasa dengan menambah satu lagi modul yang menyenaraikan nama syarikat yang disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah komersil.

“Melalui Portal Semakmule 2.0, pengguna akan diberikan akses untuk membuat carian terhadap syarikat-syarikat yang mungkin terlibat dalam aktiviti jenayah komersil.

“Ia semestinya akan membantu pengguna dalam membuat pertimbangan sama ada untuk meneruskan urus niaga atau urusan dengan syarikat yang berkaitan,” katanya dalam majlis pelancarannya di Pusat Beli Belah Mid Valley Bangsar hari ini.

Jelas Ramli, setakat ini sebanyak 107 syarikat yang disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan telah disenaraikan di dalam pangkalan data portal Semak Mule 2.0 ini.

Dalam perkara berkaitan, beliau menyatakan keyakinnnya Semak Mule 2.0 menjadi satu mekanisme berpusat sentral dalam usaha pencegahan jenayah yang lebih efektif.

Pembanterasan jenayah komersial secara holistik memerlukan
sinergi yang kukuh antara pihak Polis dan masyarakat yang sentiasa menjadi sasaran sindiket bagi mengelak terjebak dalam perangkap penipuan.

Ramli menjelaskan sejak dibangunkan pada 2020, portal versi lama Semak Mule sehingga kini berjaya menyenaraikan sejumlah 193,000 akaun bank dan 164,000 nombor telefon scammer untuk memastikan rakyat berwaspada.

“Ini bermakna, sejumlah lebih 190,000 akaun bank telah disalahgunakan sebagai keldai akaun dan kemudahan portal ini juga turut dimanfaatkan oleh institusi kewangan serta pihak polis di negara jiran bagi membantu siasatan yang dilaksanakan oleh pihak mereka.

“Sejak dilancarkan sehinggalah setakat ini, sejumlah 24,962,197 pelawat telah melayari portal ini dan 20,469,861 carian telah dibuat, manakala daripada jumlah tersebut, sejumlah 1,912,120 carian adalah positif sekaligus menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam sindiket penipuan itu,” ujarnya. -MalaysiaGazette