KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa supaya mengerah pasukan penjaga keamanannya ke Gaza susulan tindakan tentera Israel yang menembak mati beberapa rakyat Palestin dalam kejadian baru-baru ini.
Malah, lintasan ke Rafah perlu dibuka sepenuhnya agar bantuan yang dihantar masyarakat dunia ke Gaza sampai dengan selamat, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Tegasnya, umat Islam global juga mesti digerakkan untuk bersatu memberikan tekanan secara keras dalam usaha melindungi rakyat Palestin daripada terus diganasi oleh penceroboh zionis.
“Tindakan tembak mati baru-baru ini oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang cuba mendekati trak kemanusiaan oleh tentera Israel dan membunuh mereka amat kejam.
“Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 118 orang dan mencederakan ratusan yang menunggu untuk mengumpulkan makanan bantuan yang sangat diperlukan di utara Gaza apabila tentera melepaskan tembakan.
Mangsa serangan Israel selama lebih 150 hari kini bergantung kepada makanan ternakan dan makanan untuk burung.
Ia susulan akses kepada bantuan makanan telah dihadkan oleh Israel, katanya dalam kenyataan.
Mohd Azmi menegaskan, Israel terbukti melakukan jenayah teruk seperti yang telah dilaporkan oleh Afrika Selatan dalam pembentangannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Katanya, insiden tentera Israel melepaskan tembakan ke atas rakyat Palestin dengan kereta kebal dan dron adalah kejam dan biadab.
“Apakah jenayah sebegini boleh dibiarkan tanpa hukuman?
“Israel, dengan sokongan AS, diberi kebebasan membunuh sesuka hati. ICJ telah membahaskan jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh Israel namun, penjenayah itu dibenarkan meneruskan pembunuhan beramai-ramai tanpa halangan dan tanpa sebarang hukuman.
“Kami menuntut agar ICJ komited menghukum Israel tanpa berlengah-lengah. Akauntabiliti mesti dikuatkuasakan sepenuhnya ke atas Israel kerana pendudukan selama 75 tahun dan sebagai rejim apartheid,” ujarnya. – MalaysiaGazette