Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula kementerian-kementerian sepatutnya bukan fokus Kerajaan Madani kerana ia bukan sesuatu yang diharapkan oleh rakyat ketika ini.

Menurut Presiden Parti Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih, pada masa kini, rakyat lebih berharap kerajaan mendengar isu-isu berkaitan mereka diberi perhatian dan penyelesaian.

“Saya menyokong kerajaan ketika ini tapi pada masa sama andai perlu bercakap saya akan cakap. Situasi pada hari ini agak membimbangkan, rakyat sedang ‘nazak’ dengan pelbagai isu menghantui mereka termasuklah kos sara hidup dengan pelbagai cukai, ekonomi masih belum nampak sınar positif lagi. Banyak isu yang menekan.

“Makanan dan pelbagai keperluan-keperluan lain juga sudah meningkat, rakyat terpaksa ikat perut. Bayar itu dan ini, adakah ini masa untuk membuat penjenamaan semula? Tidakkah ini melibatkan kos? Mengapa mahu bazirkan wang begitu? Pastinya kos untuk tukar di semua pejabat negeri seluruh negara, kepala surat dan banyak lagi.

“Dulu tindak tanduk sebeginilah yang ditentang oleh wakil pimpinan kerajaan hari inijadi mengapa buat perkara sama? Saya mohon untuk kurangkan perkara-perkara seperti ini dan lebihkan kepentingan rakyat,” katanya.

Semalam dalam kenyataa, kementerian itu memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Mac lepas bersetuju dengan penjenamaan semula KSM dengan singkatan itu.

“Dalam dua bulan ini, selaras dengan misi strategik 3K, Kesuma telah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja dan meluaskan liputan skim keselamatan sosial,” katanya.

Kesuma dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia (KE.SU.MA), yang merupakan perkataan lama dalam Bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan diubah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam pada itu kata Shanmugam lagi, rakyat juga muak apabila perkara-perkara yang menjadi keutamaan dan sepatutnya dilaksanakan masih lagi memakan masa. 

”Walaupun hakikatnya ia sudah dijanjikan dalam manifesto sebelum pilihan raya,” tegasnya. MalaysiaGazette

Kementerian Sumber Manusia kini dipanggil Kesuma