Foto: Bomba

BALING – Seorang lelaki berusia 39 tahun meninggal dunia semasa melakukan aktiviti mendaki Gunung Baling, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.13 tengah hari memaklumkan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri di atas gunung itu.

“Maklumat awal diterima mendapati seorang mangsa dipercayai tidak sedarkan diri selepas mendaki gunung bersama rakan-rakannya dan anggota bomba bertindak mendaki gunung bagi mendapatkan mangsa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba kemudian berjaya membawa mangsa turun ke kaki gunung namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Mangsa mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama