Tiga kru Myanmar yang ditahan kerana tiada permit kerja sah selain memiliki dadah dalam bot yang ditahan di perairan Sekinchan Ahad lalu. Ihsan Maritim Selangor

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Sekinchan atas beberapa kesalahan pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot jenis kelas B1 itu dikesan Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin.

Katanya, semasa terlibat rondaan pasukan Maritim mengesan bot nelayan itu di kedudukan kira-kira 10.8 batu nautika barat perairan Sekinchan.

“Bot itu telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun.

“Bagaimanapun, semakan mendapati ketiga-tiga nelayan warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda di perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota Maritim berjaya merampas beg plastik hitam yang mengandungi daun ketum dalam bot nelayan bersama kru Myanmar semasa tangkapan pada Ahad lalu di perairan Sekinchan. Ihsan Maritim Selangor

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di dalam bot itu membawa kepada penemuan tiga set peralatan menghisap dadah, tiga paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 3.0 gram.

Malah katanya, pihaknya turut merampas tiga botol ubat batuk dan satu beg plastik hitam didalamnya mengandungi daun ketum anggaran tiga kilogram.

“Selain itu, Maritim juga menemui satu tangki simpanan bahan api yang telah diubahsuai berisi anggaran 400 liter minyak diesel di bahagian hadapan dek bot itu.

“Bot, tekong dan kru warga Myanmar bersama bahan terlarang yang dirampas itu dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Menurut Abdul Muhaimin, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah disyaki syabu dan Akta Racun 1952 di bawah kesalahan memiliki daun ketum dan ubat batuk selain

Selain itu, beliau berkata, kes turut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan warga asing dan memasang alat perhubungan elektronik di atas vessel menangkapikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, siasatan juga diteruskan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiga kru yang ditahan bekerja tanpa permit yang sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasandi laut boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast