Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengeraha Urusan KFM Sdn Bhd, Datin Nurfatin Mufti menunjukkan produk tempatan Ready-To-Eat ketika Majlis Perasmian Syarikat Kampung Fresh Market dan Produk Ready-To-Eat di KFM Cybersouth, Sepang Selangor. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

DENGKIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 167 notis dari 3,460 premis yang dilawati kerana didapati menaikkan harga dalam Ops Kesan bermula 1 hingga 5 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peniaga terbabit perlu memberi penjelasan dalam tempoh empat hari mengenai perubahan harga susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 8 peratus yang bermula 1 Mac lalu.

“Bermula hari ini, kita akan menerima penjelasan daripada peniaga yang diserahkan notis tersebut kepada KPDN dalam tempoh empat hari.

“Kita akan menerima jawapan daripada premis-premis yang dikeluarkan notis pada 1 Mac lalu. “Itu tindakan proaktif penguatkuasa kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kadar SST akan dinaikkan kepada 8 peratus, berbanding 6 peratus berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Bagaimanapun kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Menurut beliau, selain Ops Kesan, KPDN juga menerima enam aduan rasmi yang dilaporkan orang awam menerusi platform aduan kementerian setakat 1 hingga 5 Mac lalu.

“Apabila kita melaksanakan Ops Kesan, kita boleh melihat sendiri dan mengambil tindakan secara langsung dengan memberi notis tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette