Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah selesai merakam keterangan  dua individu yang mempertikaikan kereta mewah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua individu itu adalah Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard dan bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Zahid Mat Arip, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain hari ini.

“Kedua-dua individu itu selesai diambil keterangan pada pukul 11 tadi di Bukit Aman.

“Mereka disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan  pemberian kereta oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, keterangan telah diambil di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan atau Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Shuhaily berkata, kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh menganggu siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Che’gu Bard yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Zahid memuat naik hantaran di TikTok mempersoalkan Anwar menaiki kenderaan baharu jenama Mercedes Benz di Parlimen.

Anwar dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158, yang mana  semakan kenderaan itu didaftarkan atas nama Sultan Ibrahim.-MalaysiaGazette