Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan rampasan dadah selepas sidang media berkenaan kes bunuh, tangkapan dadah, kes curi kabel, kes samun dan ragut di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan 12 individu termasuk lima wanita yang dipercayai aktif mengedar dadah jenis kanabis sejak tahun lalu menerusi serbuan berasingan di Lembah Klang pada 26 Februari hingga 2 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua individu terbabit berusia 25 hingga 43 tahun itu berperanan sebagai ‘runner’ untuk menghantar dadah tersebut ke selatan tanah air.

“Secara keseluruhan kita merampas dadah kanabis seberat 18,567.50 gram yang dianggarkan bernilai RM 68,375,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Kuching pada jam 12.30 tengah hari, 26 Februari lalu.

“Kita telah merampas lima plastik lutsinar berisi bahan ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 3,404 gram,” ujarnya.

Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya menahan empat lelaki dan Lima wanita serta merampas 23 plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 6,677 gram di sebuah kondominium di Jalan Gombak, di sini pada jam 1 petang, hari sama.

“Kesemua saspek telah dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Sentul dan Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya menahan seorang lelaki di kawasan kondominium di Sentul pada jam 4.18 petang, pasa 27 Februari lalu.

“Kita turut merampas dadah jenis kanabis anggaran berat 276.5 gram,” katanya.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya menerima maklumat satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menerima bekalan dadah jenis kanabis dari pembekal di kawasan Pantai Timur.

“Kita berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah kondominium di Ibu kota pada jam 7 pagi 2 Mac lalu.

“Hasil operasi telah merampas lapan plastik lutsinar berisi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan seberat 8,210 gram,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast