GAZA CITY – Jumlah mangsa yang mati akibat kebuluran di Gaza telah meningkat kepada 20 orang berikutan kekurangan makanan disebabkan kepungan dan sekatan yang dikenakan Isaral.
Jurucakap Kementerian kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, ancaman kebuluran telah mencapai tahap maut terutama bagi kanak-kanak, wanita hamil dan pesakit yang menghidap penyakit kronik di kawasan utara.
Beliau berkata, seorang budak lelaki berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 72 tahun meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di Kompleks Perubatan Al-Shifa dan Hospital Kamal Adwan pada Rabu.
“Beribu-ribu orang berisiko mati kelaparan,” Al-Qudra memberi amaran, menyeru akses segera kepada bantuan kemanusiaan dan perubatan ke kawasan Palestin,” katanya dalam kenyataan.
Jurucakap itu menuduh tentera Israel “sengaja melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap beribu-ribu orang yang kelaparan di utara Gaza.”
Beliau merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil langkah segera “untuk mencegah malapetaka kemanusiaan dan kesihatan di utara Gaza.”
Sementara itu, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak orang yang dipindahkan mengecam Israel kerana bukan sahaja menghalang trak bantuan kemanusiaan ke Gaza tetapi juga menyerang kenderaan yang membawa bantuan.
“Saya berasa ngeri dengan kebejatan membunuh orang awam ketika mereka berada pada tahap paling lemah dan meminta bantuan asas. Ini merupakan jenayah kekejaman peringkat tertinggi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penduduk di utara Gaza terpaksa memproses dan memasak makanan haiwan berikutan tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan.
Secara rasmi Israel telah membunuh 30,707 penduduk Gaza dengan 12,300 daripadanya adalah bayi dan kanak-kanak.
Lebih 8,000 lagi masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawa bangunan yang runtuh akibat pengemboman yang dilakukan Israel dengan 72,156 lagi mengalami kecederaan. – Agensi