Fahmi.

GEORGE TOWN – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perincian Kad Perakuan Media hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah meneliti perincian tersebut dan berpuas hati dengan penjelasan JaPen berkaitan perkara berbangkit termasuk tempoh sah laku Kad Perakuan Media.

Jelas beliau, ada beberapa perkara berbangkit ketika pihaknya melakukan peluncuran kod etika media baru-baru ini.

“Antaranya kelab pemberita agensi antarabangsa memaklumkan tempoh sah laku kad media mereka pendek berbanding media tempatan meskipun mereka juga merupakan rakyat Malaysia.

“Selain itu, ada beberapa pihak bertanyakan mengenai had yang dikatakan lebih pendek untuk wartawan media dalam talian serta banyak media baru dibentuk termasuk ada yang menyalahgunakan kad tersebut.

Fahmi (tengah) melakukan lawatan ke Penang House of Music di Komtar hari ini.

“JaPen telah mengemas kini dan menyelaras kembali tempoh sah laku Kad Perakuan Media untuk semua organisasi mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan isi perincian itu telah dirujuk kepada saya terlebih dahulu untuk mereka keluarkan kenyataan penjelasan,” katanya hari ini.

Terdahulu, Fahmi melakukan lawatan ke Penang House of Music di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mengulangi bahawa penyelarasan itu dibuat bukan untuk mengekang kebebasan bersuara pengamal media kerana Kad Perakuan Media bukan lesen dalam bidang kewartawanan.

“Kad itu hanya berperanan sebagai medium pemudah cara untuk membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette