Polis Johor berjaya menahan individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan dadah.

JOHOR BAHRU – Seramai 432 individu ditahan dalam pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Khas bermula Isnin sehingga Rabu lalu.

Operasi berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor itu memberi tumpuan kepada  kawasan tumpuan penagih dadah di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, operasi berkenaan telah dilakukan di kawasan Felda, Pojek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan kos rendah, jeti nelayan.

“Operasi ini kita (polis) memberi tumpuan kepada kawasan panas yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada operasi kali ini, sasaran polis membabitkan kawasan Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam, Iskandar Puteri, Kluang, Mersing, Segamat, Tangkak, Kulai, Muar dan Pontian.

Kumar berkata, seramai 19 pegawai dan 200 anggota terlibat dalam OPS kali ini yang bermula 12 tengah malam.

Daridapa 524 orang yang diperiksa, 432 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Ianya membabitkan 52 kes bekalan, 72 kes memiliki dadah dan 308 penagih dadah,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, seramai 14 individu yang ditahan adalah warga asing manakala 54 lagi berstatus orang dikehendaki.

Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 sehingga 71 tahun dengan seramai 38 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Polis juga turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM571,793 iaitu serbuk ekstasi seberat 5,971.53 gram (g), syabu (334.01g), heroin (659.43g), ganja (2,324.42g), pil Eremin 5 (261.62g), ketamin (289.86), pil yaba (4.71g), pil ekstasi (1,336.80g), daun ketum (5,591.70g) dan air ketum (23.75 liter).

Dalam pada itu. sebanyak 10 kenderaan turut disita dan penemuan pelbagai barang kemas termasuk wang tunai berjumlah RM472,468.

Polis Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan dadah termasuklah penjawat awam.- MalaysiaGazette