Firdaus Wong dan Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Pemilik portal The Merdeka Times, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa telah dihubungi pihak polis berkaitan kenyataan Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong dalam TikTok yang dikatakan berunsur rasis dan menghasut.

Pendakwah berketurunan Cina itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan mempertahankan pendapat yang dikeluarkan oleh Felo Majlis Profesor Negara itu.

“Saya akan memberikan kerjasama kepada pihak PDRM sebagai pemilik The Merdeka Times yang melaporkan kenyataan Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong sehingga (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok melabel kenyataan Prof. Datuk Dr. Teo sebagai hasutan dan rasis.

“Saya dan The Merdeka Times akan mempertahankan kenyataan Prof. Datuk Dr. Teo yang merupakan fakta. Cina Muslim mempertahankan Cina belum Muslim. Di mana rasisnya?” soal beliau.

Sementara itu, Firdaus melahirkan rasa kecewa kerana tidak seorang pun pemimpin Melayu Islam yang tampil untuk mempertahankan Kok Seong.

Beliau mendakwa, sebagai ahli akademik Kok Seong telah tampil untuk mempertahankan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Majoriti ahli politik Melayu masih belum bersuara mempertahankan kenyataan Prof. Datuk Dr. Teo dan ini sangat mengecewakan!

“Seorang ahli akademik berbangsa Cina belum Muslim mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara tetapi ahli politik Melayu Muslim takut mempertahankannya?

“Kerana apa? Kerana takut hilang undi? Takut hilang kerusi? Saya akan memberi kenyataan kepada pihak PDRM minggu depan, Insya-Allah. Berani kerana benar!” katanya dalam kenyataan yang ditulis di media sosial.

Dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman.

Teresa mempersoalkan mengapa Kok Seoang tidak disiasat dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.-MalaysiaGazette