Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan menawarkan pelbagai habuan kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan itu akan memberikan kesan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka cuba melemahkan kedudukan PN dengan menawarkan pelbagai habuan kepada wakil rakyat kita untuk menyokong Perdana Menteri.

“Saya nak beritahu Perdana Menteri. Buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan pimpinan kamu yang gagal mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian sempena Konvesyen Wakil-wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024 di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin melahirkan keyakinan sekiranya enam kerusi yang menyokong Anwar dikosongkan maka PN akan dapat mengekalkan kesemua kerusi berkenaan.

“Rakyat tahu sandiwara kamu. Rakyat tahu tujuan jahat kamu. Rakyat benci dengan perbuatan kamu. Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor kosong.

“Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan. Saya bukan hendak mendabik dada tetapi saya yakin, insya-Allah, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika pilihanraya kecil diadakan,” katanya.

Kata-kata Muhyddin itu merujuk kepada tindakan enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari membuat tindakan apabila mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette