Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Seramai empat orang imam daripada Al Azhar Al Sharif akan berada di masjid-masjid terpilih seluruh negara sepanjang bulan Ramadan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kehadiran mereka bagi menjayakan program Mubadarah Qura’ al-Qur’an.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa Fadhilatul Imam al-Akbar Dr. Ahmed al-Tayeb, Syeikhul Azhar merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin telah mengeluarkan ketetapan kepada Universiti Al-Azhar Al-Sharif untuk bekerjasama dengan Majlis Hukama Muslimin,” katanya menerusi kenyataan.

Empat imam daripada Al-Azhar yang akan ke Malaysia adalah Syeikh Saber Hony (Anggota Pusat Fatwa Elektronik Global Al-Azhar); Syeikh Dr. Ahmed Mohammed Shebl (Pensyarah Hadith Universiti Al-Azhar dan anggota Pusat Fatwa Elektronik Global Al-Azhar); Syeikh Ahmed Ibrahim Elmashad (Anggota Pusat Fatwa Elektronik Global Al-Azhar) dan Ustaz Muhammad Musa Kasozi (Pemenang Pertandingan Hafazan al-Qur’an Universiti Al-Azhar Al-Sharif).

Jelas Zulkifli yang merangkap anggota Majlis Hukama Muslimin telah diamanahkan untuk mengendalikan program keempat-empat imam berkenaan.

“Saya akan memaklumkan jadual mereka dalam masa terdekat. Segala perbelanjaan melibatkan pengangkutan, penginapan dan lain-lain adalah di bawah tajaan Majlis Hukama Muslimin yang berpusat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu,” katanya lagi.

Sebagai rekod, program Mubadarah Qura’ al-Qur’an bukti hubungan yang erat yang terjalin di antara Al-Azhar Al-Sharif, Majlis Hukama Muslimin dengan Malaysia.-MalaysiaGazette