Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong. Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan telah dibuka terhadap Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong, kata Menteri Dalan Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kes ucapan Prof Teo kertas siasatan baru sahaja dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta MCMC, katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat peringkat kementerian.

Siasatan itu ekoran satu ucapan Kok Seong yang disiarkan Merdeka Times, Kok Seong mendakwa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Kok Seong mendakwa 95 peratus anak-anak Cina dihantar ke sekolah vernakular Cina dan enggan berintegrasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Beliau juga mendakwa, ancaman utama terhadap keharmonian negara ialah keengganan orang bukan Melayu, khususnya kaum Cina, untuk berintegrasi kerana memandang rendah orang Melayu.

Saifuddin sebelum itu berkata, tiada siasatan mahupun laporan polis terhadap Kok Seong.

“Tiada ada aduan terhadap Teo Kok Siong setakat ini diterima oleh polis. Oleh kerana tiada aduan, belum ada siasat dimulakan,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun memperbetulkan kenyataan tersebut setelah mendapat nota daripada kakitangan KDN.

Awal bulan ini, Teresa Kok (PH-Seputeh) yang juga Naib Pengerusi DAP menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman.

Teresa mempersoalkan mengapa Kok Seoang tidak disiasat dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.

Sebelum ini, Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangkit mencelah penggulungan itu menempelak ucapan Kok Seong dan mengganggap beliau sebagai ‘lupa daratan’.

“Kok Seong ini sudah lupa daratan, dia tahu apa yang jadi asas kepada ini, jangan buat tuduhan melulu,” kata Gua Eng.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya mengarahkan Guan Eng agar menarik balik kenyataan lupa daratan terhadap Kok Seong.

“Saya setuju agar perkataan lupa daratan itu ditarik balik,” gesa Johari.

Guan Eng kemudia akur akan perintah tersebut dan menarik balik kata-kata tersebut.

“Tapi dia (Kok Seong) memang lupa segal-galanya,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette