Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Helikopter EMARS sempena Kempen Keselamatan Musim Perayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di AEON Mall Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan Menteri Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat peringkat Kementerian terganggu apabila beliau ‘diserang’ Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang.

Pertama yang bangun adalah Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang membangkitkan sejarah kewujudan Kampung Baru Cina.

“Asalnya dibentuk kerana pengaruh komunis mempengaruhi orang Cina. Kalau kita masukkan kampung-kampung ini dibawah warisan UNESCO seolah-olah kita mengiktiraf komunis itu di negara kita.

“Kita pernah mencadangkan Kampung Baru Cina diletakkan di Jabatan Perpaduan, Menteri masuk (dalam KPKT) tukar ke KPKT, apakah matlamatnya,” soal Ismail.

Jelas Kor Ming, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Nawaitu itu sangat jahat, sejak bila Kampung Baru Cina ini disamakan dengan komunis, penduduk kampung adalah mangsa kepada komunis.

“Bukan mereka penyokong kepada komunis, sebab itu rumah mereka dirobohkan, dipindah sejak 1948. Saya duduk di Kampung Baru Cina tapi saya boleh berbahasa Melayu dan saya belajar sejarah Islam,” katanya.

Menjawab pertanyaan itu, Kor Ming berharap agar serangan terhadap isu Kampung Baru dihentikan di Dewan Rakyat.

“Esok adalah bulan Ramadan yang suci, redha. Jangan sentiasa mengamalkan sikap asabiah yang tidak harus diamalkan.

“Melayu, Cina dan India patut bersatu sebagai satu keluarga, mengapa siang malam saya tengok lagu dan irama yang sama berkemundang.

Seterusnya, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mempersoalkan niat sebenar kerajaan untuk mengangkat Kampung Baru Cina sebagai satu warisan UNESCO.

“Sebagai kerajaan, kita perlu sensitif dengan dasar besar iaitu Akta Warisan Kebangsaan sebelum kita nak angkat apa-apa warisan ke UNESCO, kita kena angkat ke peringkat warisan kebangsaan dahulu.

“Dalam isu kampung baru ini, ia menyentuh sensitiviti orang Melayu, tentera, bekas penjawat awam malah kaum Cina dan India yang menentang komunis,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Sebelum itu, Kor Ming berkata, sememangnya tugas beliau untuk membela nasib penduduk di Kampung Baru Cina dan sememangnya berada di bawah KPPT.

“Selaku menteri KPKT yang menjaga Kampung Baru Cina, jika saya tidak tampil ke hadapan untuk membela nasib penduduk di sana, jika bukan saya siapa lagi, jika bukan sekarang bila lagi,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming mencadangkan Kampung Baru Cina disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak, khususnya UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Mereka menyifatkan cadangan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan dan mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan PENGGANAS komunis ni?

    Tapi kenapa cucu cicit Cin Pin sangat emosi ya? PENGGANAS komunis hanya meninggalkan legasi hitam dalam sejarah negara.

Comments are closed.