KUALA LUMPUR – Pemain sayap lincah, Hadin Azman sah menyarung jersi Negeri Sembilan FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 yang bermula Mei ini.
Berita ini diumumkan melalui satu video pengenalan yang dimuatnaik oleh Negersi Sembilan Football Club di media sosial rasmi pasukan.
Di dalam video berkenaan menampilkan pemain berusia 30 tahun ini mengenakan kit tuan rumah Negeri Sembilan musim lalu yang berwarna merah hitam dan kuning.
Negeri Sembilan turut mengumumkan Hadin bakal menggunakan jersi bernombor 27 bagi musim 2024/2025 nanti.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan pemain kedua yang menyertai skuad Jang selepas Hein Thet Aung yang dipinjamkan sekali lagi dari Selangor.
Hadin mencatatkan 21 penampilan bersama Penang FC musim lalu dan berjaya menjaringkan empat gol dan melakukan tiga bantuan jaringan.
Dia juga pernah mewakili Harimau Malaya pada tahun 2016 hingga 2019 dan mengumpul sembilan kaps dan menjaringkan satu gol. – MalaysiaGazette