Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disasarkan menjana pendapatan lebih RM375 bilion menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan memberitahu Dewan Rakyat, tahun ini sahaja, MOTAC menyasarkan 27.3 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM102.7 bilion.

“Bagi 2025 31.4 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 bilion dan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 billion,” katanya menjawab soalan pertama Dewan Rakyat hari ini.

Khairul Firdaus berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Madiun Tangau (PH-Tuaran) yang ingin tahu sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara dan
apakah program dan langkah-langkah untuk menarik lebih banyak pelancong asing untuk melawat Malaysia.

Untuk mencapai sasaran itu, Khairul Firdaus berkata, MOTAC akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa seperti International Tourisme Bourse (ITB) Berlin, World Travel Market (WTM) London, Arabian Travel Mart (ATM) Dubai, ASEAN Tourism Forum (ATF) dan banyak lagi merangkumi pasaran-pasaran utama seluruh dunia.

“Ini penting bagi memastikan penjenamaan Malaysia Truly Asia akan kekal menjadi pilihan pelancong-pelancong seluruh dunia lebih-lebih lagi memandangkan negara-negara pesaing sentiasa agresif mempromosikan destinasi masing-masing di pameran-pameran pelancongan utama,” katanya lagi.

Ia termasuk bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Pelancongan Negeri-negeri dengan menyokong usaha penganjuran kempen Tahun Melawat Negeri yang telah dirancang.

Sehingga kini empat negeri telah mengumumkan kempen tahun melawat negeri pada tahun 2024 iaitu Melaka, Perlis, Kelantan dan Perak.

MOTAC turut akan meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan dalam meluaskan rangkaian penerbangan terus dari pasaran – pasaran utama ke Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Malah MOTAC akan menganjuran program lawatan familiarisasi bersama media dan agensi pelancongan bagi memberi pengalaman dan pendedahan terhadap produk & destinasi pelancongan yang
baharu. – MalaysiaGazette