KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan kerajaan kini ingin menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk destinasi bagi industri berteknologi tinggi.
Jelas timbalan menterinya, Liew Ching Tong, langkah itu dibuat Malaysia bagi memastikan usaha menarik industri berteknologi tinggi ini dijayakan.
“Kita telah dapat banyak pelaburan dan pelaburan ini menuju ke arah industri berteknologi tinggi dan kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan yang masuk ke negera ini mematuhi apa yang kerajaan sasarkan,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.
Ching Tong berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai penutupan kilang pengeluar tayar terkemuka, Goodyear pada 30 Jun depan.
Wan Ahmad Fayhsal ingin tahu samada kerajaan berdepan cabaran untuk memastikan pelabur asing kekal melabur di negara ini
“Sudah ada siri-siri pelabur-pelabur awal menarik diri Panasonic, Westren Digital, dan pada minggu ini PM Thailand pergi Perancis dan umumkan berjaya tarik pelaburan Michelin berjumlah RM1.5 bilion.
“Adakah ada semacam satu cabaran buat negara kita untuk kekalkan pelabur asing dan menarik pelabur berkualiti sebab Malaysia mahu jadi hub kenderaan elektrik. Tapi kalau industri tayar pun kita tidak boleh, macam mana nak tarik pengilang lain,” soal Wan Ahmad Fayhsal.
Menjawab pertanyaan itu, Ching Tong berkata kerajaan tidak boleh masuk campur mengenai langkah itu dan ia merupakan keputusan syarikat berkenaan.
“Negara mempunyai syarikat pengeluar tayar yang lain, bukan Goodyear sahaja. Ini adalah keputusan syarikat dan tidak menghalang apa yang telah diputuskan.
“Apa yang kita nak buat adalah memastikan pelaburan yang datang mematuhi 12 indikasi yang disebutkan tadi.
Minggu lalu, Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata Goodyear dalam usaha mengurangkan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025 bagi memastikan jenama itu kekal berdaya saing dan menjadi peneraju industri.
Nathaniel berkata, keputusan yang sukar itu akan memberi kesan kepada kira-kira 550 kakitangan.
Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bakal dilancarkan pada 1 September ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.
Awnar berkata matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu. – MalaysiaGazette