kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Apabila Datuk Wan Saiful Wan Jan menyebut di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepadanya maka sebenarnya menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara pro-aktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu, kata Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 di mana Seksyen 25 (1) berkaitan Kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan, jelas menyatakan mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran tersebut kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

Sepertimana di dalam peruntukan Akta SPRM 2009 iaitu di bawah Seksyen 7 (a) Pegawai-pegawai Suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya.

“Kesimpulannya, apa-apa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu atau perkara yang melibatkan rasuah, SPRM boleh bertindak demi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi rasuah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“MCW berharap ahli-ahli politik tidak memanipulasi fakta dan undang-undang yang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguat kuasa negara,” katanya dalam kenyataan.

Jais berkata demikian merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpandangan SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Wan Saiful.

“Sebagai sebuah pertubuhan bersifat non-partisan – MCW hanya akan memandang dari sudut fakta dan undang-undang sedia ada, bukannya manipulasi fakta.

“Ahli Parlimen termasuklah Wan Saiful mempunyai imuniti untuk berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, beliau juga boleh menentukan bila beliau hendak membuat laporan kepada SPRM tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen tertakluk di bawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3).

Perkara 63 (2) menyatakan seseorang itu tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan atas apa yang diperkatakannya di dalam prosiding Majlis Parlimen.

Menurut Jais, kenyataan yang diberi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak salah kerana Tan Sri Azam Baki hanya meminta Wan Saiful untuk membuat aduan sekiranya benar beliau ditawarkan rasuah.

“Beliau sepatutnya membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 agar SPRM dapat mengumpulkan maklumat dan mengambil langkah pro-aktif

“SPRM sebagai agensi yang memerangi rasuah boleh bertindak sekiranya ada apa-apa perkara dibangkitkan berkaitan rasuah dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” ujar Jais lagi.

MCW berharap ahli-ahli politik tidak memanipulasikan fakta dan undang-undang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan tanggapan buruk terhadap peranan agensi penguatkuasa negara. – MalaysiaGazette