KUANTAN – Polis telah menembak mati tiga ahli Geng Centro dalam kejadian di Pekan malam tadi seterusnya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas di beberapa negeri.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketiga-tiga warga asing itu maut selepas insiden berbalas tembakan antara polis.
Menurutnya, ketiga-ketiga suspek berumur antara 34 hingga 44 tahun secara tiba-tiba telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis apabila diarahkan berhenti untuk diperiksa.
Yahaya berkata, dengan tumpasnya Geng Centro ini polis telah berjaya telah menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas iaitu satu di Selangor, satu di Negeri Sembilan, satu kes di Pahang dan tiga kes di Perak yang membabitkan kerugian RM 4 juta.
“Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Selangor telah berjaya mengesan sebuah kereta Proton Waja yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan.
“Kemudian polis telah bertindak memperkenalkan diri sebagai polis bagi tujuan membuat pemeriksaan. Suspek sebaliknya terus memecut kenderaan melarikan diri melalui jalan Pekan-Kuantan Bypass,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.
“Apabila tiba di Kilometer 17, Jalan Pekan – Kuantan Bypass, suspek telah menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis menyebabkan kereta suspek milik lelaki Bangladesh berhenti.
“Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Bagi tujuan mempertahankan diri, pihak polis telah membalaskan tembakan sehingga penjenayah di dalam kereta tumpas,” tambahnya.
Mengulas lanjut, katanya, modus operandi yang digunakan oleh penjenayah ini adalah dengan menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan.
Selain itu, suspek juga telah memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang dan menebuk peti besi menggunakan mesin grinder sebelum melarikan barang kemas.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – MalaysiaGazette