GEORGE TOWN – Lelaki yang dikesan polis susulan terlibat dalam insiden sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat mahu meminta wang sebagai ganti rugi telah diberkas Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, penganggur berusia 41 tahun itu ditahan jam 7.43 malam di Changkat Bukit Gambir 1, Gelugor di sini.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau iaitu lima membabitkan jenayah manakala lapan berkaitan kes dadah.

“Kita telah lengkapkan kertas siasatan serta serah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

“Rentetan itu, kita terima arahan untuk mendakwa suspek di mahkamah pada hari Khamis ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis kesan lelaki sengaja cetus kemalangan untuk ganti rugi

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar serta video memaparkan seorang lelaki yang juga penunggang motosikal sengaja mencetuskan kemalangan dengan bertindak melanggar sebuah sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kereta terbabit.

Susulan pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit dikatakan akan meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta terlibat dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden tersebut. – MalaysiaGazette