Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2024.

CYBERJAYA – PKR tidak akan membenarkan mana-mana pengkhianat atau individu yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi menjadi ahli parti, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Menjawab laporan media baru-baru ini mengenai beberapa ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysua (Bersatu) mungkin menyertai PKR pada masa hadapan, Fahmi berkata, mereka akan disambut dengan tangan terbuka tetapi tertakluk kepada penelitian.

“Kami mempunyai mekanisme untuk membincangkan, (kemasukan ahli Bersatu) dan dengan mekanisme ini, kami akan memastikan kami tidak mempunyai ‘trojan horse’ (musuh dalam selimut) atau orang yang akan menyebabkan masalah kepada kami.

“Sebelum ini, kami ada pemohon yang kami tangguhkan terima selepas melalui proses ini. Jadi, kami ada sistem sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas ahli majlis tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan kemasukannya ke dalam PKR pada Isnin lepas sambil membayangkan lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkahnya.

Beliau mendakwa, perkara itu akan berlaku dengan lebih ketara menjelang pemilihan Bersatu yang dijangka berlangsung tahun ini.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Klang itu berkata, beliau yakin penghijrahan itu akan bermula dari Selangor, melibatkan ahli yang berjawatan atau mereka yang mengasaskan penubuhan Bersatu di semua peringkat di negeri itu.

Kata beliau, ini akhirnya akan membawa kepada gelombang besar perbezaan pendapat di semua peringkat parti, terhadap Bersatu.

Dalam catatan Facebook pada Isnin, Faiz mendedahkan, beliau dan bekas ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah telah diterima sebagai ahli PKR. – MalaysiaGazette