Pegawai KPDN Pulau Pinang melakukan serbuan membabitkan empat premis perniagaan di Bandar Prai Jaya.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan empat individu termasuk seorang wanita yang menjual alat ganti dan aksesori tiruan pelbagai jenama telefon bimbit dalam serbuan di Bandar Prai Jaya di sini, semalam.

Pengarahnya, S.Jegan berkata, bertindak atas maklumat dan aduan pihaknya menyerbu empat premis berkenaan bersama wakil pemilik cap dagang terbabit pada jam 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua premis itu membawa kepada penemuan alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit yang dipercayai palsu.

Empat penyelia premis turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Antara jenama yang dirampas terdiri daripada  Samsung, Xiaomi, Huawei dan Redmi.

“Susulan itu, kita telah merampas 2,938 unit alat ganti telefon bimbit anggaran bernilai RM58,896 serta 964 unit aksesori RM9,320. Secara keseluruhan jumlah rampasan bernilai RM68,216.

“Turut ditahan empat individu berusia 26 hingga 45 tahun yang merupakan penyelia premis bagi membantu siasatan mengikut Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Jegan, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu serta syarikat yang didapati gagal mematuhi undang-undang berkaitan KPDN.

“Masyarakat juga diminta menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – MalaysiaGazette