Ashroff Abdul Shukoor didakwa atas dua pertuduhan peras ugut seorang wanita di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Lelaki yang tular sengaja menyebabkan kemalangan sebelum memeras ugut ganti rugi daripada pemilik kenderaan terlibat dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Ashroff Abdul Shukoor, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 55 tahun bahawa satu bencana akan berlaku kepadanya sebelum mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM80.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tembaga, Jelutong di sini, pada 15 dan 30 November lalu, antara jam 2.05 hingga 2.30 petang.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ketika prosiding Nurul Atikah meminta mahkamah agar tidak mengurangkan hukuman susulan berdasarkan fakta kes jelas menunjukkan tertuduh merancang melakukan jenayah tersebut selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Bagaimanapun dalam rayuan, tertuduh mohon mahkamah memberikan hukuman minima dalam bentuk penjara susulan dia tidak bekerja selain perlu menanggung ibu dan bapa yang sudah tua.

Siti Nurul Suhaila kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama manakala 10 bulan bagi pertuduhan kedua yang berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Mac lalu.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret 3, atas kesalahan positif dadah.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, tertuduh didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis morfin dan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media pada Isnin lalu melaporkan lelaki yang dikesan polis susulan terlibat dalam insiden sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat mahu meminta wang sebagai ganti rugi diberkas Ahad lalu.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan selepas pihak polis menerima laporkan daripada mangsa selain insiden tersebut tular di media sosial.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar serta video memaparkan seorang lelaki yang juga penunggang motosikal sengaja mencetuskan kemalangan dengan bertindak melanggar sebuah keretab sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kereta terbabit.

Susulan pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit dikatakan akan meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta terlibat dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden tersebut. – MalaysiaGazette