Rohaizi Ismail (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan untuk menghadapi pertuduhan pagi tadi.

KUANTAN – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM600 dalam dua kejadian berasingan.

Tertuduh,  Rohaizi Ismail, 50 mengangguk faham atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Rohaizi sebagai Pegawai Imigresen Gred KP26 di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang telah menerima wang berjumlah RM600 dari seorang individu yang mana mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya pada ketika itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 15 Mei 2022 dan 30 Julai 2022, masing-masing bernilai RM300 di Maybank Islamic Berhad, Wisma KCCCI, Lot 46 dan 47, Jalan Bukit Ubi, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Riffah Izzati Abdul Mutalif .

Beliau kemudian memohon agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas dua pertuduhan itu berserta syarat jaminan.

Tertuduh tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana masih menangung isteri dan tiga orang serta ibu bapa yang sudah uzur.

Rohaizi turut memaklumkan kepada mahkamah beliau telah berkhidmat selama 28 tahun sebagai penjawat awam bersama Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun hakim mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 24 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast