KUALA LUMPUR – Pameran statik dan demonstrasi penerbangan pesawat komersial buatan China ARJ21 dan C919 buat julung kali diadakan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Malaysia menjadi destinasi terakhir sempena jelajah lima negara Asia Tenggara selepas Vietnam, Laos, Kemboja dan Indonesia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong antara yang hadir pada acara itu.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, reka bentuk dalaman pesawat C919 sangat mesra penumpang dan menjanjikan pengalaman penerbangan lebih selesa.
Beliau turut meluahkan harapan agar lebih banyak pertukaran dan kerjasama dapat dilakukan dengan Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) pada masa hadapan.
Dimaklumkan, siri demonstrasi penerbangan bertujuan untuk menguji kebolehsuaian pesawat komersial buatan China terhadap lapangan terbang dan laluan serta perkhidmatan peralatan sokongan darat (GSE) di lima negara Asia Tenggara.
Menurut COMAC, demonstrasi itu berjaya memperlihatkan prestasi baik pesawat berkenaan sekali gus meletakkan asas untuk menembusi pasaran Asia Tenggara. – Bernama-CMG