Majlis pelamcaran Kempen Infaq Ramadan: Semarakan Cinta Ramadan Yayasan Nurjiwa berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Yayasan Nurjiwa telah melancarkan Kempen Infaq Ramadan bagi mempelawa orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan budaya bersedekah.

Pengasas dan Pengerusi Bersama Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan memberi peluang untuk umat Islam menambah pahala.

Oleh yang demikian katanya, yayasan itu berhasrat menggandakan jumlah sumbangan pada bulan Ramadan tahun ini dengan mengatur beberapa program khas infaq.

“Bersedekah pada bulan Ramadan mempunyai kelebihan dan ganjaran yang tersendiri, justeru pihak Yayasan Nurjiwa telah mengatur beberapa program khusus seperti bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, menganjurkan majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid.

“Bantuan kotak makanan yang dinamakan Bantuan Nur-Muhamad ini memberikan keutamaan kepada golongan susah yang dikenal pasti oleh pihak yayasan sendiri.

Foto Facebook Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Sebelum bulan Ramadan, wakil yayasan turun padang untuk mencari golongan asnaf yang kehidupan mereka benar-benar daif. Ini bertujuan supaya golongan asnaf juga akan turut merasai kemeriahan menyambut Ramadan dan Syawal menerusi bantuan yang diberikan,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan: Semarakan Cinta Ramadan Yayasan Nurjiwa di sini baru-baru ini.

Siti Nurhaliza yang juga penyanyi nombor satu negara berkata, selain mengedarkan Al-Quran dan sejadah, Yayasan Nurjiwa turut membantu membaik pulih kerosakan di masjid dan surau yang telah dikenal pasti bagi memastikan para jemaah beribadah dengan lebih selesa.

Ujar ibu kepada dua anak itu, yayasan tersebut turut merancang untuk mengadakan edaran bubur lambuk kepada orang ramai serta memberikan sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, golongan asnaf serta golongan kurang berkemampuan.

“Bantuan khas ke Gaza merupakan misi yang diteruskan oleh pihak yayasan dan saluran bantuan ke negara yang sedang dilanda perang itu telah dimulakan seawal 11 Oktober 2023 hingga kini.

“Selama hampir lima bulan bantuan ke Gaza dilakukan tanpa henti dan Yayasan Nurjiwa menerusi wakilnya di sana telah memberikan sumbangan kewangan, makanan, air bersih, pakaian dan pelbagai keperluan lain.

“Kempen Infaq Ramadan ini juga diharapkan dapat menampung sumbangan berterusan di mana keadaan rakyat Palestin yang kini berada di Rafah sangat memerlukan pertolongan terdesak terutama makanan.

Foto Facebook Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Marilah kita mengambil peluang untuk menderma pada bulan Ramadan yang dilimpahi banyak kelebihan yang dijanjikan Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Semoga setiap kebaikan bersedekah akan Allah kurniakan pahala berlipat ganda,” katanya.

Sementara itu, Kempen Infaq Ramadan ini merupakan salah satu kesinambungan program yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa sebelum ini iaitu Kempen Jihad dan Kempen Tabung Sedekah Subuh.

Kini yayasan itu akan meneruskan lima misi bantuan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin daripada Kempen Infaq Ramadan.

Sumbangan untuk Kempen Infaq Ramadan ini boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurjiwa: Maybank 514486106455.

Sebarang pertanyaan mengenai aktiviti dan sumbangan kepada Yayasan Nurjiwa, sila layari laman sesawang rasmi www.nurjiwafoundation.org dan e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette

Foto Facebook Datuk Seri Siti Nurhaliza.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast