Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) menerima kejutan apabila kehilangan ‘nakhoda’ apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad meletak jawatan hari ini.

Perkembangan itu memberi tamparan hebat buat KL City yang kini dalam proses pembentukan pasukan menjelang saingan Liga Super yang berbaki dua bulan lagi.

Tindakan melepaskan jawatan di KLFA pastinya memberi impak kepada KL City di mana Khalid juga bertindak selaku Ahli Lembaga Pengarah kelab terbabit.

Dalam surat peletakan jawatan Khalid itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan KLFA yang banyak membantunya selama berkhidmat selaku Presiden bermula 2019 lalu.

“Saya berharap agar KLFA terus maju dan berjaya dalam usaha masa depannya,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang di bawah kepimpinan Khalid, skuad The City Boys muncul sebagai pencabar terkuat dalam saingan Liga Super termasuk menjuarai Piala Malaysia pada 2021 lalu.

Pada peringkat Asia pula, KL City hampir mencipta sensasi apabila ke final Piala AFC namun terpaksa akur sebagai naib juara selepas tumbang kepada kelab Oman, Al Seeb. – MalaysiaGazette