Dadah Erimin 5 dan Kodein yanh dirampas dalam serbuan ke atas dua sindiket dadah di Sabak Bernam dan Petaling Jaya 10 dan 13 Mac lalu.

SUNGAI BULOH – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Petaling Jaya dengan tertangkapnya empat ahlinya di Subang Jaya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan polis Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menahan sebuah kereta Perodua Axia mencurigakan di kawasan Subang Jaya pada jam 10.30 malam .

“Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta mereka berjaya menjumpai 1 ketulan mampat ganja seberat 1 kilogram, 100 biji pil Erimin 5, dan enam botol cecair kodein 1.5 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurut Hussein, hasil soal siasat ke atas pasangan itu dan berpandukan arah polis telah pergi ke sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan dua lelaki.

Tambah beliau, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada rampasan 31 paket ketulan dan leraian ganja seberat 8.2 kg, 73 biji pil Erimin 5 dan sebotol cecair kodein sebanyak 2 liter.

“Semakan mendapati salah seorang daripada empat suspek berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau dadah manakala dua suspek lagi positif dadah jenis THC menerusi ujian saringan awal air kencing.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah daripada sindiket ini adalah bernilai RM31,600 dan dipercayai untuk pengedaran ke pasaran Lembah Klang,” ujarnya.

Hussein berkata, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RS150R dan sebuah iPad Apple bernilai RM4,000 untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Katanya kesemua suspek direman seminggu untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, beliau memberitahu, dalam serbuan yang dilakukan Ahad lalu, polis Sabak Bernam menahan seorang buruh berusia 44 tahun kerana disyaki mengedar dadah.

“Pemeriksaan ke atas suspek berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 8,900 biji pil Erimin 5 di tepi jalan kawasan Sabak Bernam yang dianggarkan bernilai RM145,000

“Suspek memiliki lima rekod kesalahan lampau dadah dan dua daripadanya berstatus dikehendaki sementara hasil ujian saringan air kencing turut menunjukkan positif Syabu,” ujarnya.

Katanya, suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. – MalaysiaGazette