Warga kerja di Kuala Lumpur bersesak setiap pagi di stesen LRT untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemahiran rakyat Malaysia untuk pekerjaan bergaji lebih tinggi dan bukannya menyerah kepada permintaan yang kerap untuk meningkatkan gaji minimum.

Presiden Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng berkata, sebarang kenaikan gaji minimum bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah tetapi penggajian secara menyeluruh.

Ia merupakan risiko yang tidak perlu diambil apabila pasaran sudah bertindak dengan cekap terhadap penawaran dan permintaan buruh.

Menurutnya, di Pulau Pinang dan kawasan berhampiran Kulim sahaja, lebih daripada 50,000 kekosongan jawatan jurutera dan teknikal yang masih belum diisi, walaupun industri menawarkan antara RM3,500 hingga RM6,000 gaji bulanan untuk mereka.

Beliau berkata, pihak industri telah menaikkan gaji pekerja secara konsisten, walaupun sebelum penubuhan sistem gaji minimum.

Pada tahun 2010, gaji median untuk rakyat Malaysia ialah RM1,500, dan menjelang 2023, jumlah ini naik kepada RM2,600 – lonjakan sebanyak
73 peratus.

Meskipun dengan kenaikan itu, kedudukan Malaysia yang dekat dengan Singapura dan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan ramai pekerja terlatih dan berkemahiran tinggi meninggalkan negara.

Jelas beliau, nilai RM1,500 pada tahun 2010 bersamaan S$ 635 tetapi menjelang 2023, nilai RM2,600 itu hanya bernilai S$765 atau kenaikan terkumpul sebanyak 20 peratus sahaja.

Hakikatnya, pihak industri telah meningkatkan gaji secara berterusan sebanyak 73 peratus.

“Mewajibkan gaji minimum bukanlah cara yang paling cekap ataupun paling berkesan untuk menaikkan gaji pekerja. Ia perlu digunakan dengan berhati-hati bagi meningkatkan pendapatan mereka yang tergolong dalam kumpulan yang berpendapatan paling rendah.

“Apabila kenaikan gaji dilakukan tanpa kesepadanan dalam produktiviti atau margin perniagaan, ia akan menjejaskan prospek kenaikan pangkat pekerja yang lebih produktif dan akan memesongkan pasaran buruh kerana peniaga terpaksa mengurangkan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang berkata, kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan.

“Untuk makluman, pada tahun ini, berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), kadar gaji minimum akan dikaji semula.

“Kita akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pihak majikan dan pekerja serta menjadikan rujukan laporan-laporan sosio ekonomi seperti laporan Bank Negara yang dinyatakan oleh Yang Berhormat (YB) Batang Sadong,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, William berkata, lagipun kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah membuat pembayaran melebihi gaji minimum semasa.

Selain itu, pasaran buruh di Malaysia juga sangat cekap kerana majikan yang menawarkan gaji yang agak rendah berisiko untuk kehilangan pekerja mereka.

Tambahnya, pasaran pekerjaan juga telah berubah dengan ketara selepas pandemik apabila ekonomi gig kini menjadi kebiasaan dengan satu daripada empat rakyat Malaysia bekerja dalam ekonomi gig manakala satu daripada empat lagi mempunyai pekerjaan gig sebagai tambahan kepada kerja harian mereka.

Beliau menyifatkan takrifan bagi pekerjaan, tempat kerja, dan gaji serta sistem gaji minimum adalah penyelesaian lama kepada masalah lapuk. .

“Pihak kerajaan sebaliknya harus memberi tumpuan untuk menarik industri bernilai tinggi yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi dan turut memastikan rakyat Malaysia dilatih dan ditingkatkan kemahiran untuk pekerjaan akan datang

“Kaedah yang lebih baik seperti Model Upah Progresif juga boleh menyelaraskan kenaikan gaji dengan produktiviti dan kemahiran. Menang-menang untuk semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette