RAUB – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi melecur dalam nahas kebakaran membabitkan dua buah rumah di Felda Tersang, Raub, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden jam 1.42 pagi dan mengambil masa kira-kira setengah jam dengan jarak 38 kilometer ke lokasi kejadian.
Mangsa terkorban, Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46, dipercayai meninggal dunia semasa keluar dari rumah dan terjatuh di bahagian belakang rumah.
“Manakala adik mangsa, Abdul Hadi Abdullah Suhaimin cedera melecur di bahagian tangan telah dirawat oleh pasukan EMRS.
“Kebakaran membabitkan keluasan 44×80 kaki di unit kediaman jenis sementara dan melibatkan rumah ke dua iaitu jenis kekal yang berukuran 20 x 40 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 100% selain melibatkan rumah bersebelahan yang terbakar di bahagian bilik.
Tambahnya anggaran kemusnahan akibat kebakaran rumah kedua adalah 20%.
Seramai empat pegawai 10 anggota bomba dari Balai Bomba Raub dan Sungai Koyan terbabit menggunakan dua jentera.
Pemadaman dengan menggunakan dua aliran hose reel dan satu aliran hose 200 kaki air pam tangki jentera dalam operasi yang berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 41 minit. – MalaysiaGazette