Insiden kebakaran membabitkan dua buah rumah pusaka yang berlaku pada jam 1.30 pagi tadi mengakibatkan kematian mangsa, berusia 46 tahun.

RAUB – Siapa sangka ajal di rumah pusaka peninggalan orang tua yang sudah lama tidak berpenghuni menjadi tragedi hitam kepada dua beradik dalam kebakaran dua buah rumah pada awal pagi tadi di Felda Tersang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, dalam insiden jam 1.30 pagi mangsa dikatakan berada di rumah tersebut kerana sedang bercuti.

“Mangsa (abang berusia 46 tahun) dalam keadaan terbaring di belakang rumah dan disahkan meninggal dunia manakala adiknya,36, pula melecur,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Shahril berkata, adik mangsa memaklumkan ketika insiden berlaku beliau sedang berehat di dapur rumah dan melihat cahaya terang di ruang bilik hadapan rumah serta mendapati api sedang marak di dalam rumah.

Adik mangsa kemudiannya telah bertindak menyelamatkan diri dan kemudian telah pergi ke rumah abangnya memaklumkan mengenai kebakaran itu, ujarnya.

Menurut Shahril, mereka bersama-sama menyelamatkan beberapa barangan rumah serta mengalihkan kenderaan masing-masing yang turut dibantu oleh beberapa orang kampung.

Difahamkan  kedua-dua adik-beradik ini bekerja sebagai pemandu lori, dan abang mangsa yang meninggal dunia mempunyai penyakit darah tinggi.

Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Raub untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian manakala mangsa yang melecur dihantar Hospital Raub untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast