SUBANG JAYA – Polis menafikan dakwaan anggotanya bertindak kasar, sombong dan tidak profesional semasa menjalankan tugas, jauh sekali tidak membenarkan orang awam bertanya ketika pemeriksaan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dakwaan itu tidak benar dan menjatuhkan imej Polis DiRaja Malaysia khususnya Polis Subang Jaya.
“Pada 16 Mac lalu, kira-kira jam 12.30 semasa anggota polis berada di pejabat Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, telah menerima satu pautan berita.
“Pengadu membuka link tersebut dan dapati berkaitan dengan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga tempatan pada 13 Mac lalu jam lebih kurang 1.30 pagi di kawasan perumahan USJ9, di sini.
“Pengadu telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mengikut undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, hasil semakan mendapati, lelaki tersebut tiada sebarang rekod jenayah dan laporan polis pemeriksaan dibuat selepas kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589),” katanya.
Katanya, pihak polis meminta orang ramai supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam usaha mencegah jenayah.
“Mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau salah laku pihak polis boleh tampil menyalurkan maklumat melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya).
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – MalaysiaGazette