Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy tidak layak bercakap soal pengkhianatan kerana beliau sendiri digelar pengkhianat DAP suatu ketika dulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpendapat, adalah lebih baik Ramasamy berdiam diri dan menikmati alam persaraan daripada mengulas mengenai isu pengkhianatan.

“Saya merasa terpanggil untuk membidas kenyataan P Ramasamy mengenai isu pengkhianatan dalam parti seperti yang telah disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, semalam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP itu hari ini mempertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas didakwa pengkhianat oleh UMNO.

Beliau mengingatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa PKR juga lahir dari DNA sama dan UMNO bukanlah parti yang mulia untuk bercakap tentang pengkhianatan.

Ramasamy berkata, jika Asyraf Wajdi percaya bahawa Bersatu layak untuk dikhianati oleh wakil rakyat mereka, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada UMNO.

Menurut Wan Rosdy, Ramasamy sendiri telah mengkhianati partinya apabila mengumumkan keluar DAP pada 10 Ogos 2023 setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang tahun lalu.

Tambah beliau, rakyat kini lebih bijak bagi menilai siapa Ramasamy yang mana kenyataan yang dikeluarkan beliau ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast