KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan kesalahan menjual stoking kalimah Allah di KK Mart adalah sesuatu kesalahan yang tidak boleh dipandang remeh.
Menurut beliau, adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam di negara ini untuk memulakan tindakan memboikot pasar raya berkenaan yang dilihat menghina dan mencaci agama Islam.
“Kesalahan sebegini tidaklah boleh di anggap sebagai remeh dan tidak sengaja, ada agenda yang lebih jauh yang cuba dilakukan oleh musuh musuh agama ini.
“Manakala para penguasa mestilah mengambil tindakkan yang tegas bagi mengekang tindakan seberani ini mencabar agama ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menyeru agar umat Islam di negara ini memulakan aktiviti boikot terhadap pasar raya berkenaan.
“Jangan cakap banyak! kita boikot terus,” katanya.
Semalam, Pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat selaku pembekal stoking berkenaan berkata, produk berkenaan diimport dari China.
Jelas Chin Huat, pihaknya diberi peluang oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai untuk menyewa ruang bagi menjual produk mereka.
Malah hari ini, Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi amaran akan memulakan boikot terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu. – MalaysiaGazette