BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun merayu sumbangan orang ramai berjumlah RM106,772 bagi menampung kos rawatan kanser Neuroblastoma yang dihidapinya.
Neuroblastoma adalah sejenis kanser ganas yang biasa berlaku pada kanak-kanak disebabkan oleh sel-sel saraf yang belum matang.
Hazman Hisammuddin, 36, berkata, anaknya, Fahrian Faizin dikesan menghidap kanser itu pada 2022 ketika dia berusia empat tahun.
Jelasnya, gurauan antara Fahrian Faizin dengan abangnya sehingga tertendang perut tanpa sengaja merungkai penyakit yang dihidap anak ketiga daripada empat beradik itu.
“Pihak hospital melakukan rawatan serta mert terhadap anak saya susulan kanser yang dihidapinya itu berada pada tahap ketiga.
“Mereka memaklumkan dia perlu menjalani enam peringkat rawatan dan dalam tempoh lebih setahun, dia telah melalui lima peringkat rawatan termasuk beberapa sesi kemoterapi dos tinggi dan rendah termasuk pembedahan mengeluarkan tumor.
“Bagaimanapun, rawatan untuk penggunaan ubat imun menelan kos yang tinggi dan dalam tempoh dua tahun itu semua wang simpanan kami sekeluarga habis digunakan,” katanya hari ini.
Hazman kini terpaksa merayu bantuan susulan tidak mampu lagi menampung kos ubat imun susulan keadaan kewangan keluarga sangat terbatas.
“Saya bekerja di pusat servis kereta dengan pendapatan bulanan sekitar RM4,000 manakala isteri, Nur Aishah Zulkiflie, 35, pula suri rumah.
“Sehubungan itu, kami meminta pertolongan daripada pasukan One Hope Charity & Welfare untuk membantu mengumpul dana bagi kos rawatan Fahrian Faizin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya telah melawat rumah keluarga Hazmandi Puchong, Selangor sebelum meluluskan bagi menyalurkan dana tersebut.
“Semakan kita mendapati pasangan ini mempunyai tiga lagi anak iaitu dua lelaki berusia 10 dan 8 tahun serta seorang perempuan berusia setahun.
“Pasangan ini masih memerlukan bantuan sehingga RM106,772 untuk membeli ubat kepada Fahrian Faizin bagi meneruskan rawatan di peringkat akhir.
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi rawatan Fahrian Faizin boleh hubungi talian 04 539 9212, 016 4192 192, 019 2322 192, 018 911 4192 atau layari onehopecharity.org bagi maklumat lanjut.
“Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun 3201428817 (Public Bank) One Hope Charity & Welfare,” katanya. – MalaysiaGazette