Anggota Maritim Malaysia melakukan rondaan Operasi Khas Pagar Laut di atas kapal KD Bagan Datuk di perairan Pulau Indah, Pelabuhan Klang.. Foto SYADILA AMARI, 18 MAC 2024.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan negara khususnya di kawasan titik panas (hotspot) sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, operasi itu melibatkan empat fasa bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) dari 12 hingga 17 Mac ini.

“Ini diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan bermula 18 Mac hingga 1 April.

“Fasa III pula semasa perayaan iaitu bermula 2 hingga 16 April dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Khas Pagar Laut di atas Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPC) ‘KD Bagan Datuk’ dan melakukan rondaan hampir dua jam di perairan Pelabuhan Utara, Pulau Indah, di sini.

Hamid juga berkata, operasi itu melibatkan 45 pelbagai aset dan lebih 800 pegawai serta anggota di seluruh negara.

Seorang anggota Maritim Malaysia terlibat dalam rondaan Operasi Khas Pagar Laut di perairan Pulau Indah, Pelabuhan Klang.. Foto SYADILA AMARI, 18 MAC 2024.

“Op Khas Pagar Laut dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pergerakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban seperti mercun serta penyeludupan barang kawalan ke luar negara.

“Justeru, sepanjang operasi berkenaan, Maritim Malaysia akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di perairan sempadan negara-negara jiran,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Maritim Malaysia turut bersiap sedia mengerahkan asetnya bagi melaksanakan tugas Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

“Ia sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa insiden kemalangan kapal atau bot penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran nanti,” katanya.

Katanya lagi, untuk rekod, Maritim Malaysia telah berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi dari 42 kes tangkapan pads tahun lalu.

“Ia membabitkan cubaan menyeludup masuk rokok, pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan PATI serta kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette