Orang ramai yang hadir Bazar Ramadan Rahmah Taman Cempaka, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MAC 2024.

Oleh: Mohammad Sufian Abdul Manan

KENAPA gerai saya ni makin kurang pengunjung? Agaknya gerai saya disihir..”

Kata-kata di atas merupakan sebahagian tanggapan para peniaga mahupun pengusaha gerai yang terpempan dengan bilangan pengunjung gerai yang kurang dan hasil jualan yang semakin merosot hingga akhirnya membuat kesimpulan bahawa gerai beliau disihir.

Tidak dinafikan, ada berlaku kes-kes terpencil di mana gerai atau pengusaha gerai disihir oleh pesaing perniagaan, pelanggan yang sakit hati dan lain-lain lagi. Bentuk-bentuk gangguan sihir ini seperti pelanggan tidak nampak gerai walaupun gerai telah dibuka dan sedang beroperasi, pemilik gerai tiba-tiba mengalami sakit misteri, bahan mentah atau juadah yang telah siap disediakan tiba-tiba rosak hingga tidak boleh
digunakan atau dijual serta banyak lagi. Namun, selain kes terpencil ini, apa kata kita lihat dalam konteks normal.

Dilema peniaga atau pengusaha gerai makanan
Mengapa sesebuah perniagaan atau gerai ini merosot hingga akhirnya ada yang terpaksa ditutup? Sedangkan pemilik perniagaan menawarkan produk yang menarik. Harga produk pula berpatutan. Selain itu, lokasi gerai juga berada di lokasi yang strategik dan menjadi tumpuan masyarakat, seperti di tengah-tengah pekan atau bandar. Ini kerana kurangnya kefahaman peniaga ataupun peniaga tidak mengambil serius terhadap aspek promosi. Promosi merupakan elemen terakhir jika kita maklum tentang ‘marketing mix’ yang merujuk kepada 4 unsur utama yang digunakan oleh perniagaan untuk mempengaruhi keputusan pembelian pelanggan dan seterusnya mencapai matlamat pemasaran. Empat unsur ini dikenali sebagai 4P iaitu produk (product), harga (price), tempat (place), dan promosi (promotion).

Sesedap manapun makanan yang anda jual, semurah manapun harga jualan yang anda tawarkan dan gerai anda berada di ‘lokasi cantik’, semua ini tidak bermakna sekiranya dari hari ke hari perniagaan anda semakin merosot dan anda dicengkam kerugian disebabkan anda bergantung sepenuhnya kepada tiga perkara di atas dan culas untuk melakukan promosi. Pada awal gerai anda dibuka, sudah pasti pengunjung akan
memenuhi gerai anda untuk mencuba dan membuat penilaian menerusi pembelian mereka, namun lama-kelamaan anda memerlukan promosi bagi meneruskan kelangsungan perniagaan anda.

Sedangkan syarikat besar berstatus Multinational Company (MNC) yang mempunyai rangkaian perniagaan yang besar, sumber yang tidak terhad serta jenama serta produk yang gah, masih melakukan aktiviti promosi. Promosi ini juga dijalankan secara kerap dan berkala walaupun masyarakat telah mengenali produk ditawarkan, mengetahui jenama perniagaan dan maklum harga jualan yang ditawarkan.

Meningkatkan jualan pada bulan Ramadan
Bagi sesetengah peniaga, kehadiran bulan Ramadan merupakan tempoh untuk mereka berehat. Namun, ia berbeza dengan peniaga makanan. Bagi peniaga mahupun pengusaha gerai makanan, kehadiran bulan Ramadan merupakan satu ruang dan peluang untuk mereka ‘buat duit’ melalui perniagaan makanan. Pada bulan Ramadan ini, tapak-tapak Bazar Ramadan akan dibuka dan dianjurkan bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan juadah berbuka puasa. Juadah yang ditawarkan juga pelbagai. Daripada nasi dan lauk pauk, kepada kuih muih tradisional serta moden, makanan tular hinggalah air minuman yang beraneka jenis semuanya dikumpulkan di bawah bazar Ramadan.

Selain itu, bagi peniaga yang mempunyai kedai kekal mahupun gerai kekal, mereka mempunyai lebih banyak kelebihan kerana makanan serta gerai mereka sudah tentu sedia dikenali oleh masyarakat disebabkan mereka menjalankan perniagaan dalam tempoh masa yang lama sebelum datangnya bulan Ramadan. Bonus jika masyarakat turut mengenali kedai atau gerai tersebut disebabkan makanan yang sedap, harga yang
berpatutan serta khidmat berkualiti yang diberikan kepada para pelanggan.

Memanfaatkan penggunaan kain rentang dan gegantung
Salah satu masalah yang sering berlaku ialah pembeli atau bakal pembeli tidak dapat melihat makanan yang dijual pengusaha gerai daripada jauh dan terpaksa datang lebih dekat ke meja jualan untuk melihat makanan yang dijual. Perkara ini akan menjadi lebih mudah sekiranya para pengusaha gerai memanfaatkan penggunaan kain rentang dan gegantung dengan memaparkan tulisan dan gambar produk makanan yang dijual.

Melalui penggunaan kain rentang dan gegantung, ia bukan saja dapat memberi gambaran awal kepada pembeli tentang produk makanan yang dijual, bahkan ia juga secara tidak langsung berperanan sebagai alat pemasaran yang berkesan apabila gambar makanan yang menarik, membuka selera, bahan dan ramuan yang banyak, hiasan makanan yang cantik serta ditulis dengan tulisan yang jelas mampu menarik
pelanggan ke gerai tersebut sebelum pelanggan melihat sendiri meja jualan.

Selain itu, tawaran istimewa bulan Ramadan bagi percetakan kain rentang dan gegantung yang diberikan oleh syarikat-syarikat percetakan wajar diambil peluang oleh pengusaha gerai untuk mencetak kain rentang dan gegantung dengan harga yang murah dan berpatutan. Modal yang dikeluarkan oleh pengusaha gerai ini untuk memasang kain rentang dan gegantung akan diganti dengan jualan yang meningkat
dan pengunjung yang bertambah disebabkan kaedah promosi ini. Penggunaan kain rentang ini sangat penting sebagai ‘salam perkenalan’ oleh para pengusaha gerai di bazar Ramadan ataupun peniaga kecil yang berniaga juadah berbuka puasa di hadapan rumah sama ada di pekan mahupun kampung kepada bakal pembeli.

Bagaimanapun, para pengusaha gerai perlu berhati-hati dengan syarikat percetakan yang mencetak dengan tidak kemas, kabur serta hasil cetakan yang tidak memuaskan walaupun gambar asal telah diberikan dalam format yang terbaik sebelum proses percetakan kain rentang dan gegantung. Pengusaha gerai berhak meminta cetakan semula ataupun ganti rugi jika kesilapan seperti ini berlaku di pihak syarikat
percetakan.

Memanfaatkan penggunaan media sosial
Dalam era ledakan teknologi maklumat dan media sosial, adalah satu kerugian jika para pengusaha gerai tidak memanfaatkan penggunaan media sosial untuk perniagaan masing-masing. Banyak media-media sosial diwujudkan dan sangat membantu pengusaha gerai seperti Facebook (promosi perniagaan, menu ditawarkan, maklumat perniagaan dan waktu operasi perniagaan, lokasi perniagaan, gambar makanan, gambar pelanggan, tawaran istimewa bulanan, video ‘live’ gerai), Instagram (sama seperti Facebook tetapi lebih ringkas, mengutamakan gambar), TikTok (video gerai,
video makanan, video ‘live’ gerai, temubual pelanggan istimewa) dan banyak lagi. Semua media sosial ini adalah percuma kecuali apabila anda mengaktifkan fungsi untuk bisnes, anda akan mula dikenakan bayaran.

Anda tidak perlu menjadi seorang pempengaruh media sosial, memadai anda mempunyai kemahiran dan ilmu menguruskan laman-laman sosial tersebut serta berani untuk berhadapan khalayak warganet atau netizen. Ilmu media sosial ini anda boleh dapati melalui kursus-kursus yang dianjurkan di bawah Kursus Pendek Kolej Komuniti atau yang dianjurkan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Yang menariknya, kedua-dua agensi ini menawarkan kursus secara percuma ataupun dengan yuran kursus yang sangat berpatutan khususnya kepada masyarakat setempat.

Selain itu, para pengusaha gerai makanan turut boleh mempelajari ilmu media sosial ini melalui video perkongsian yang dimuatnaik oleh jurulatih atau pakar pemasaran media sosial di laman Youtube, dan video-video ini adalah percuma. Apa yang diperlukan ialah pengusaha gerai makanan mempunyai kemudahan talian internet. Dengan kemajuan teknologi masakini yang berkembang pesat, seseorang itu boleh terus memuatnaik gambar, video dan status perkongsian ke media sosial hanya menggunakan telefon pintar, berbanding memerlukan komputer riba atau komputer desktop sebelum ini sewaktu teknologi telefon pintar belum berkembang pesat.

Pengusaha gerai makanan juga seharusnya memanfaatkan penggunaan aplikasi seperti rekabentuk gambar dan poster menerusi Canva, pembuat gambar AI dan pembuat seni AI seperti Bing AI, ChatGPT untuk menjana penulisan dan pemasaran serta banyak lagi. Aplikasi ini dapat digunakan bersama media sosial terutama dalam membuat poster dan penulisan pemasaran bagi gerai jualan.

Sebagai penutup, bulan Ramadan sebenarnya membuka peluang yang luas terutama kepada pengusaha gerai makanan untuk menjana keuntungan dan dalam masa yang sama mendapat ganjaran pahala di atas khidmat menyediakan juadah berbuka puasa. Sinergi kerja keras di bulan Ramadan yang disulam dengan kerja bijak melalui aplikasi media sosial dalam perniagaan mampu membuahkan hasil yang berlipat ganda.

Penulis adalah Penolong Pendaftar Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA