KUALA LUMPUR – Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut perlu bekerja lebih keras untuk melonjakkan prestasinya selepas musim lalu dia cemerlang dengan ledakan 22 gol.
Itu yang ditekankan oleh pengendalinya, Tomislav Steinbruckner yang masih meletakkan harapan tinggi kepada penyerang berusia 27 tahun itu untuk terus memperkuatkan bahagian depan musim ini.
Sebanyak 22 jaringan yang berjaya diperoleh membuktikan reputasi Mamut sebagai penyerang berbisa untuk membantu TFC dalam beberapa perlawanan penting sehingga berjaya ke pentas final Piala Malaysia 2023.
Namun beliau memberi bayangan tiada jalan yang mudah untuk Mamut selepas ini memandangkan pihak lawan yang pastinya sudah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan pemain dari Croatia itu yang telah bersama TFC sejak musim lalu.
“Kita tahu pada musim pertama, dia berjaya menjaringkan 22 gol dan sudah tentu saya menjangkakan perkara yang sama daripadanya untuk musim ini.
“Kalau tidak dapat 22 gol pun, sekurang-kurangnya dapat menghampiri jumlah itu juga sudah cukup baik, cuma kita tahu keadaan tidak akan selalunya sama.
“Pemain pihak lawan juga mesti sudah tahu cara Ivan bermain dan tahu macam mana nak mengekang pergerakannya, jadi sudah tentu ia tidak akan menjadi mudah buat Ivan.
“Sekarang pun dia ada sedikit kecederaan tetapi sepertimana saya mengharapkan kepada pemain lain, sama juga saya berharap kepadanya untuk terus pamer prestasi terbaik musim ini,” jelasnya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam pada itu, Steinbruckner melihat dua pemain tumpuan iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid semakin serasi dengan pasukan ketika ini dan percaya mereka mampu memberi impak terbaik bersama rakan sepasukan lain bagi musim ini.
“Saya tahu mereka berdua memang pemain yang bagus, berkualiti dan saya memang berharap kepada dua pemain ini.
“Bukan saya sahaja, sudah tentu penyokong di sini (Terengganu) juga menjangkakan sesuatu daripada mereka dan mungkin ini adalah masa terbaik untuk mereka meningkatkan lagi prestasi bersama kelab ini.
“Saya juga tahu posisi mana mereka boleh bermain baik di bahagian sayap atau tengah menyerang dan kadang-kadang di posisi serangan, bergantung kepada situasi.
“Tetapi dengan beberapa pemain lain juga sudah tentu saya boleh buat sesuatu dengan pilihan yang lebih banyak”, tambahnya. – MalaysiaGazette