Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat isu penjualan stoking kalimah Allah di premis KK Mart yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan rakyat bergama Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan pihaknya akan memanggil beberapa individu termasuk pihak KK Mart bagi membantu siasatan kes.

“Kesemua saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini. Siasatan sedang dijalankan, kita akan panggil semua saksi-saksi berkaitan dengan kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan  alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.

Malah kes itu juga sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung penjualan stokin yang tertera kalimah Allah sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Annuar Nasarah di Parlimen pagi tadi berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

Jelasnya, ia bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

“Pihak polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai siasatan kes terbabit, Razarudin mengulangi ketegasannya bahawa polis tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja.

Tegas beliau, perkara ini sering kali diingatkan pihaknya agar bersama menjaga sensitiviti semua pihak.

“PDRM hampir setiap masa sudah mengingatkan semua agar jangan sentuh isu 3R manakala polis turut memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan tegas undang-undang dan jelas sekali polis tidak akan berkompromi dalam hal ini,” tegasnya.

“Polis memandang serius isu 3R ini dan kita mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.

Dalam sidang media pada 16 Mac lalu di Bandar Tasik Selatan, pengurusan tertinggi KK Mart telah menyatakan rasa kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah dikesan di tiga cawangan KK Mart termasuk di KK Mart Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular di media sosial.

Selain itu, seorang pengguna Facebook iaitu Ricky Shane CA turut tampil membuat permohonan maaf selepas dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dalam isu stoking.

Lelaki itu kini disiasat polis di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian atau kemudahan rangkaian.-MalaysiaGazette