Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas berdasarkan keperluan dan situasi semasa.

Kementerian itu menerusi kenyataan berkata, ia sebagai satu langkah prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya bagi menghadapi keadaan cuaca panas di luar jangka.

Selain itu, KPM turut menasihatkan supaya sekolah-sekolah menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.

Dalam masa yang sama, selain perlu memastikan bekalan air minuman bersih sentiasa mencukupi murid yang tidak berpuasa juga digalakkan membawa membawa air minuman sendiri.

“Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman

“Dan sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” kata KPM menerusi kenyataan.

Jelas KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan diminta melaksanakan langkah-langkah pencegahan berikutan berikutan cuaca panas yang melanda negara.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Sementara itu, KPM mengingatkan semua institusi pendidikan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa cuaca negara di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette