Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Isu  stoking kalimah Allah perlu ditangani segera ekoran sudah mula memercikkan bibit-bibit perbalahan antara kaum, kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Naib Presiden UMNO itu berharap isu itu wajar diselesaikan segera sebelum ia melarat menjadi sesuatu yang lebih buruk.

“Untuk itu, saya mengharapkan seluruh rakyat di negara ini agar dapat menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan,” katanya yang juga Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan rasmi hari ini.

Wan Rosdy berkata, isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway Piramid, Petaling Jaya telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Lantaran itu beberapa laporan polis telah mula digerakkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan diikuti beberapa NGO lain.

“Ia merupakan satu penghinaan kepada Islam sebagai agama Persekutuan terutamanya bagi kami yang menganutinya.

“Saya memohon agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memastikan dalang di sebalik kejadian ini menerima hukuman,” katanya. – MalaysiaGazette