Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup bercakap kepada media selepas membuat laporan mengenai isu Stoking Kalimah Allah yang membabitkan KK Mart di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Tuntutan Pergerakan Pemuda UMNO agar KK Mart menggantung kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangan atau menutup premis selama 14 hari tidak memadai.

Ayahanda Rani Kulup Abdullah atau dikenali Kipidap bertegas mahu kempen boikot diteruskan sekurang-kurangnya enam bulan terhadap pasar raya serbaneka berkenaan.

“Sebaliknya,biar kita boikot.. boikot terus KK Mart selama enam bulan maksimum itu satu hukuman rakyat yang paling berat saya rasa boleh membawa impak kuat dan satu pembelajaran kepada mana-mana pihak-pihak untuk takut membuat kesalahan itu (hina Islam) lagi.

“Malah ayah juga mahu kerajaan buat satu undang-undang paling  tegas dan keras bagi memastikan sebarang perbuatan menghina agama Islam adanya hukuman berat kepada mereka yang disabitkan kesalahan di mahkamah nanti.

“Jangan, sikit-sikit minta maaf… berapa banyak maaf dah ini, ini sudah macam cerita P. Ramlee yang menyanyi ‘Maafkan Kami..Maafkan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung isu yang sama di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Isu penjualan stoking kalimah Allah nampaknya membuatkan Rani Kulup kembali tampil membuat laporan polis selepas lebih dua tahun tidak aktif sebagai Raja Report.

Rani Kulup mahu kerajaan tampil dengan pengubalan satu undang-undang yang boleh menjatuhkan hukuman berat kepada pelaku yang mempersenda atau menghina agama Islam di negara ini.

“Saya difahamkan setakat ini sudah lebih 50 laporan polis menyusul dalam kes ini terhadap pengurusan KK Mart yang memberi mesej jelas keseriusan umat Islam di negara ini yang tergores hati.

“Saya memuji tindakan polis yang membuka kertas siasatan dan sedang menyiasat kes  ini dan bakal memanggil pihak pengurusan KK Mart cuma saya nak tegaskan di sini pastikan bakal tindakan dalam kes ini adalah berat.

“Pastikan hukuman berat dijatuhkan agar ia menjadi satu peringatan tegas kepada mana-mana individu atau pihak tidak terlibat perbuatan menghina Islam atau Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tentang laporan polis yang dibuat Rani Kulup.

Katanya kes itu diserahkan kepada Bukit Aman yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan siasatan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.

Katanya, semua saksi termasuk pihak pengurusan KK Mart akan dipanggil dan dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan/Undang-undang) D5 JSJ Bukit Aman yang mengendalikan kes tersebut. – MalaysiaGazette