Muhammad Sanusi Md Nor

PUTRAJAYA – Ketiadaan mesyuarat bersama Menteri Besar Kedah buat masa ini bagi memberi masa kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membangunkan Kedah.

Itu sinikal daripada Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Jelasnya lagi, ruang itu penting bagi Muhammad Sanusi  membangunkan Greater Kedah sementara dirinya akan menumpukan kepada projek-projek kecil di negeri Kedah di bawah kendalian kerajaan Persekutuan.

“Saya nak bagi masa seluas-luasnya kepada Sanusi untuk bangunkan Greater Kedah dia nak tambak tanah di Langkawi, saya nak bagi ruang dahulu.

“Kalau pun tidak ada satu pun mesyuarat yang atas nama majlis tindakan (MTPN) kerana saya percaya fokus Sanusi pada Greater Kedah.

“Saya tidak mahu ganggu dia dan biar dia bangunkan Airport Kulim, lengkapkan dulu tambun tanah projek reclaim dekat Sungai Petani berjumlah RM40 bilion, bagi saya jaga projek kecil, jadi biar dia jaga projek bilion-bilion,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Saifuddin berkata, selain Greater Kedah, beliau juga memberi ruang kepada Muhammad Sanusi menyiaplan peojek litar lumba di Sungai Petani.

“Kemudian dia nak buat jambatan darat, saya nak dia tumpukan kepada Greater Kedah, saya biar jaga isu kecil-kecil di Kedah, dengan cara ini  saya menghormati tugas Sanusi sebagai Menteri Besar untuk membangunkan Greater Kedah.

“Saya biar selesai loji-loji rawatan air sebab di Kedah saya dapat maklum balas air terputus. Loji rawatan air ada lima, di bawah kerajaan Persekutuan, masalah tanah sudah diselesaikan.

“Jadi ada projek baru dan ada projek sambungan, projek babitkan RM1.8 bilion, saya tengok dengan kekerapan saya turun, boleh menjamin kelangsungan projek itu dengan lebih kemas,” katanya.

Saifuddin sebelum itu menjawab pertanyaan wakil media sama ada beliau akan memanggil mesyuarat MTPN selepas Muhammad Sanusi menyifatkan alasan  beliau tidak mengadakan mesyuarat kerana bimbang kebocoran maklumat rahsia sebagai “mengada-ngada”. – MalaysiaGazette