Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berucap ketika Majlis Perasmian Bengkel Hala Tuju MITRA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 20 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara mempertahankan penganjuran Bengkel Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang bertujuan merangka hala tuju jangka pendek, jangka sederhana dan panjang di negara ini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan ini akan menyelaraskan semula Pelan Tindakan Masyarakat India sedia ada supaya bersifat lebih realistik dan berfokus.

Beliau juga memberi jaminan bahawa perhatian khusus akan diberikan kepada pembangunan sosioekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat India.

“Antara fokus utama yang akan diutamakan meliputi pembangunan modal insan, keusahawanan dan kerjaya, serta pembangunan sosial dan kebajikan.

“Kementerian juga melantik firma perunding Pemandu untuk melaksanakan kaji selidik, bengkel, sesi libat urus dengan badan bukan kerajaan dan semua pemegang taruh, syndication session, dan penyediaan laporan akhir membantu menetapkan hala tuju baharu MITRA,” katanya dalam ucaptama perasmian bengkel tersebut pagi tadi.

Mengulas lanjut, kata Aaron menambah, pelantikan firma perunding itu mengikut tatacara dan peraturan kewangan kerajaan iaitu Pekeliling Perbendaharaan Malaysia 3.2 dengan menggunakan peruntukan operasi kementerian tanpa membabitkan peruntukan MITRA.

Beliau menepis dakwaan peribadi Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk Seri Thanenthiran bahawa pelantikan perunding adalah tindakan membuang masa dan wang kerajaan.

Selain itu beliau turut menegaskan,  dakwaan tentang firma Pemandu menguruskan pengagihan bantuan kewangan MITRA adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, sebarang kelulusan dan agihan peruntukan yang terlibat akan dibuat melalui Jawatankuasa Penilai Kementerian Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

“Kementerian juga telah menjenamakan semula Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA kepada Jawatankuasa Petugas Khas (JKPK) MITRA yang akan dipengerusikan P.Prabakaran selaku Ahli Parlimen Batu.

“Malah kementerian juga sedang meneliti cadangan empat ahli lain yang terdiri daripada ahli akademik, korporat, badan bukan kerajaan dan wakil pertubuhan agama yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa.

“Fungsi JKPK adalah memberikan nasihat dalam memperhalusi dasar atau polisi MITRA serta menentukan inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat India selaras hala tuju MITRA,” ujar beliau.

Tegasnya, agenda transformasi MITRA memerlukan program inovatif untuk pertumbuhan ekonomi masyarakat India dan berharap bengkel ini membantu menyelaraskan pelan tindakan agar lebih fokus terhadap penyelesaian membasmi kemiskinan dan kesejahteraan hidup.- MalaysiaGazette