Tertuduh, Noor Alfian Noor Latif, 25, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memeras ugut serta menumbuk seorang pegawai bomba yang dituduh menjadi punca penceraiannya.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Noor Alfian Noor Latif, 25, yang membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap seorang penjawat awam dengan niat mangsa dalam ketakutan dikenakan tindakan apabila kes dilaporkan kepada ketua jabatannyna.

Perbuatan secara tidak jujur itu telah mendorong mangsa berumur 35 tahun menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM19,250 di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 9 malam 17 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh juga didapati dengan sengaja memukul dan menumbuk mangsa sama sehingga menyebabkan kecederaan pada pukul 4.21 petang di lokasi sama pada 3 Mac 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memeras ugut mangsa yang merupakan seorang pegawai bomba untuk membuat pembayaran berjumlah RM30,000 dengan tujuan menakut-nakutnya kerana dituduh menjadi punca penceraian rumah tangganya.

Mangsa kemudian menyerahkan wang berjumlah RM19,250 melalui beberapa transaksi dan juga tunai.

Pada 3 Mac lalu, tertuduh berjumpa dengan mangsa di sebuah rumah beralamat di Taman Saujana Seksyen 3, Bukit Katil sebelum bertindak menumbuknya hingga cedera.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung seorang anak serta ibu dan adik-beradiknya yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda RM1,000 atau penjara satu bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette