Sofiah cuba menendang kamera seorang jurugambar ketika diiringi polis ke kamar Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini mengarahkan wanita warga emas yang mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi di sini, menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan arahan itu terhadap tertuduh Sofiah Abdul Majid, 65, selepas mendapati keadaan warga emas itu tidak stabil.

Selain itu, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

“Berdasarkan pemerhatian, mahkamah mendapati OKT (orang kena tuduh) kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh diarahkan jalani pemeriksaan mental selama sebulan.

“Tertuduh diminta kembali ke mahkamah pada 19 April ini, jam 9 pagi bersama laporan psikiatri,” katanya.

Terdahulu, Sofiah didakwa telah membuat satu penyataan zahir bahawa imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi Pulau Pinang membaca al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu Cina atau Hindu dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Pertuduhan terhadap Sofiah dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit keslahan.

Namun, tertuduh tidak menjawab sama ada dia memahami atau tidak pertuduhan yang dibacakan jurubahasa sebaliknya menyifatkan semua kandungan pertuduhan tersebut tidak benar.

“Itu perkataan seseorang terhadap saya. Sebab itu semua bohong bagaimana saya faham? Saya tidak faham kerana ia pembohongan. Itu ‘common sense’,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 19 April ini untuk menunggu laporan psikiatri.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang wanita warga emas selepas didapati melontorkan kenyataan berbaur unsur perkauman terhadap jemaah di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi di sini.

Insiden yang dicetuskan wanita tersebut turut tular di media sosial. – MalaysiaGazette