Pegawai polis Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu akan disebut semula pada Mac depan di Mahkamah Majistret Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 7 FEBRUARI 2024.

IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis memindahkan kes pegawai kanan polis yang didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember tahun lalu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Majistret S Punitha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz untuk kes terhadap Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dan ia dilakukan mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun tarikh bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Selain Afzainizam, pendakwaan turut dikendalikan Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili Peguam Cindy Wong Xin Tian.

Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Zamri Idrus.

Terdahulu, tertuduh yang tiba ke kamar mahkamah pada jam 9 pagi memakai pakaian berlengan panjang dengan penutup kepala, serta memakai pelitup muka berwarna hitam dalam keadaan tangan bergari dan diiringi polis.

Artikel berkaitan:

Ahli keluarga mangsa iaitu abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, dan bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, juga hadir bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Pada 18 Disember 2023, tertuduh, Mohd Nazri yang bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, dekat sini, antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising menggunakan motosikal. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pegawai polis dituduh bunuh calon SPM: Mahkamah tetapkan tarikh baru